Pakaian Sholat

thumbnail-cadangan
أَلسَّلامُ عَلَيْكُم ورَحْمَةُ اللهِ وبَرَكَاتُه ..
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ ..
أَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى رَسُولِ اللهِ وَ عَلَى أَلِهِ وَ أَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ ..

Ya Allah lapangkanlah dadaku, permudahkanlah kerja kerja ku, dan bukakanlah simpulan pada lidahku supaya mereka yang mendengar faham jelas akan kata kataku..

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللهَ فَأتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ اللهُ وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَاللهُ غَفُوْرٌ رَحِيْمٌ
(أل عمران :31)

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.      
(Surah Ali-Imran: Ayat 31). 

Pakaian Solat

صَلُّوا كَماَ رَأَيْتُمُوانِي أُصَلِّي 

Dirikanlah Solat Sebagaimana Kamu Melihat Aku Bersolat

Hadis diatas merupakan dalil yang mewajibkan kita mencontohi, mengikuti dan melakukan solat sama seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Hadis ini dicerna daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhary dari Malik bin Huwairits seperti di paparkan dibawah.

حدَّثنا محمَّد بن المُثَنَّى قال حدَّثنا عبد الوهَّاب قال حدَّثنا أَيُّوب عن أبى قِلابَة قال: حدَّثنا مالِك :( أَتَيْنَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم وَنَحْنُ شَبَبَةٌ مُتَقَارِبُونَ فأَقِمْنَا عِنْدَهُ عِشْرِيْنَ يَوْمًا وَلَيْلَةً، وَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّم رَحِيْماً رَفِيْقاً، فَلَمّاَ ظَنَّ أَنَّا قَد اشتهينا أَهلَنَا- أَو قَد اشتَقْنا- سَأَلَناَ عمَّن ترَكنا بَعْدَناَ، فأَخبرناهُ. قال: إِرجِعُوا إِلَى أَهلِيكُم، فأَقِيمُوا فِيهِم وَعَلِّمُوهم، وَمُروهم- وذكرَ أَشيَاءَ أَحفَظُها- أَولا أحفظُها- وَصَلُّوا كَماَ رَأَيْتُمُوانِي أُصَلِّي، فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لكم أَحَدُكُم وَلْيُؤمَّكم أَكبرُكم).       

Telah berkata Muhammad bin Al Muthanna katanya telah berkata Abdul Wahhab katanya telah berkata Ayyub dari Abi Qilabah katanya: Telah berkata (Abu Sulaiman iaitu) Malik (bin al-Huwairits r.a)., katanya: "Kami semua mendatangi Nabi s.a.w. dan kami semua adalah para pemuda yang hampir sebaya (hampir berdekatan umur kami). Dan kami semua bermukim di sisi Baginda s.a.w. selama dua puluh hari dan malam untuk mempelajari ilmu agama. Adapun Rasulullah s.a.w. itu sifatnya seorang yang sangat berkasih sayang serta sangat berlemah-lembut. Baginda s.a.w mengira bahawa kami semua telah merindui keluarga kami, lalu bertanya kepada kami tentang siapa dari keluarga kami itu yang telah kami tinggalkan. Kami pun menceritakan kepada Baginda s.a.w tentang hal itu. Kemudian Baginda s.a.w. bersabda: "Sekarang kembalilah kamu kepada keluarga kamu masing-masing, menetaplah di dalam lingkungan mereka, berilah mereka pelajaran, perintahlah mereka - melakukan ketaatan- Dan Dirikanlah Solat Sebagaimana Kamu Melihat Aku Bersolat. Jika waktu solat sudah tiba, maka hendaklah seorang di antara kamu melaungkan azan dan hendaklah yang menjadi imam kamu itu orang yang tertua dari kalangan kamu semua." (Muttafaq 'alaih)

Ucapannya: Rahiman rafiqan,  رَحِيماً رَفِيقاً   diriwayatkan dengan fa' dan qaf -sebagaimana di atas, juga diriwayatkan dengan dua qaf - lalu berbunyi raqiqan رَقِيقاً    ertinya halus perasaannya.

(Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari : Jami’ Sahih Bukhari : Kitab Azan : Bab 18 : Hadis 631) 
(Imam An-Nawawi : Riyadhus Salihin : Hadis 710) 

Saya langsung tidak berhasrat untuk menghuraikan tentang persoalan fiqh solat dalam tulisan ini, kita boleh merujuk persoalan fiqh solat kepada tuan tuan guru dengan bersumberkan kitab kitab yang telah ditulis oleh para ulama muktabar Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ingin saya sarankan disini carilah Kitab Sifat Solat Nabi Yang Sahih ditulis oleh Al-Allamah Dr Hassan Ali Al-Saqqaf Al-Qurasyi Al-Hasyimi yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Al-Fadhil Ustaz Zamihan Mat Zin Al-Ghari.

Tuan guru saya yang dimuliakan Syeikhuna Mukarram Habib Umar bin Ismail bin Ahmad bin Yahya (wafat tahun 1973) telah menterjemahkan  صَلُّوا كَماَ رَأَيْتُمُوانِي أُصَلِّي  sebagai melihat bukan saja kepada perlakuan dan perkataan Baginda Nabi s.a.w di dalam solat tetapi juga pada pemakaian Baginda Nabi s.a.w itu sendiri. Ini sesuai dengan maksud  perkataan  رَأَيْتُمُوانِي  kamu semua melihatku, Syeikhuna Mukarram Habib Umar menegaskan maksud melihatku itu haruslah juga melihat kepada apa yang dipakai oleh Baginda Nabi s.a.w sewaktu mendirikan sholat. Ini ditegaskan dengan sokongan dari banyak hadits-hadits yang memperincikan pakaian Nabi s.a.w (akan saya paparkan dibawah nanti) dan sikap sahabat yang bersungguh sungguh dalam mengikuti dan mencontohi setiap tatacara berpakaian Nabi s.a.w, antaranya seperti Abi Hurairah r.a yang terkenal sebagai sahabat yang paling hampir dalam mengikuti Baginda Nabi s.a.w, beliau mengikut segala galanya yang berkaitan dengan Baginda Nabi s.a.w. baik dari cara berpakaian, bersolat, bermuamalah hinggalah kepada hal-hal yang lebih bersifat peribadi seperti cara baginda makan, berjalan bahkan batuk juga diikutinya, ini semua adalah hasil dari pada perasaan cinta yang sangat mendalam para sahabat terhadap Baginda Nabi s.a.w. Bagaimanakah pula sikap kita dalam menunjukkan rasa cinta terhadap Baginda Nabi s.a.w?.

Baiklah, sekiranya kita hendak menjadi seorang peguam, setelah sempurna pembelajaran kita di universiti bolehkah kita masuk ke mahkamah sebagai peguam dengan memakai t shirt dan jeans?

Senario kedua, sekiranya kita dianugerahkan darjah kebesaran oleh Raja, bolehkah kita masuk ke istana untuk menerima darjah kebesaran tersebut dengan memakai pakaian yang biasa kita pakai pergi ke kebun? Jika kita berbuat demikian, sudah tentu kita akan dianggap bersikap biadap dan boleh mendatangkan kemurkaan Raja dan kita boleh dihukum kesan dari perbuatan kita yang tidak memakai pakaian yang sepatutnya untuk mengadap Raja.

Demikianlah fitrahnya, kita ada pakaian tertentu untuk dipakai pada tempat dan kepada orang tertentu. Kita ada pakaian khas untuk pergi bekerja, pekerja pejabat dengan berkemeja dan bertali leher, orang korporat dengan kotnya, anggota keselamatan dengan unifomnya, pekerja industri juga ada unifomnya, petani juga ada pakaiannya.

Oleh itu tidaklah menjadi kesalahan sekiranya kita menjadikan pakaian Baginda Nabi s.a.w sebagai pakaian solat kita sebagaimana tidak menjadi kesalahan bagi kita bersolat dengan pakaian biasa yang sekadar cukup menutup aurat itu. Bahkan dengan memakai pakaian Baginda Nabi s.a.w di dalam menunaikan solat dapat menjadi nilai tambah kepada ibadah solat yang kita lakukan:

  •  Mendapat pahala sunat pada pakaian.
  •  Mendapat khusyuk dalam solat.
  •  Mendapat kemanisan solat.
  •  Dapat mewujudkan rasa kehambaan terhadap Allah s.w.t.
  •  Mendapat pahala mencintai Baginda Nabi s.a.w.
  •  Mendapat kemanisan cinta keatas Baginda Nabi s.a.w.
  •  Memperoleh doa para malaikat kerana mencintai dan mengikuti Baginda Nabi s.a.w.
  •  Mendapat fadhilat dan kelebihan. 
Meskipun ada yang berkata pakaian Baginda Nabi s.a.w itu tidak sesuai dengan budaya masyarakat melayu dan peredaran zaman, itu sebenarnya hanyalah alasan penolakan dari mereka yang tidak mencintai Nabinya.

Melayu sangatkah kita jika baju melayu pun hanya dipakai pada hari jumaat sahaja, dan lebih malang lagi ada yang hanya dipakai di pagi hari raya sahaja. Melayu sangatkah kita dengan berkemeja, berkot dan bertali leher?. Melayu sangatkah kita dengan berseluar jeans?.

Ada juga yang berkata tidak mampu untuk memiliki pakaian seperti Baginda Nabi s.a.w. Soalan saya, mahal sangatkah harga sehelai jubah putih berbanding sepasang kot? Mahal sangatkah harga sehelai kain serban berbanding sehelai seluar jeans? Mahal sangatkah harga sehelai kain selendang (rida’) berbanding sehelai kemeja? Mahal sangatkah harga sekeping kopiah berbanding sekeping topi?

Dizaman ini sukar dicari orang yang hanya memiliki sehelai pakaian sahaja. Kebanyakan dari kita memiliki se almari pakaian bahkan ramai yang memiliki stor khas bagi menyimpan pakaian mereka. Masih relevankah alasan kemampuan ditimbulkan?.

Berbalik kepada tajuk diatas PAKAIAN SOLAT, bukan pakaian untuk ke pejabat, ke sekolah, ke pasar, ke padang permainan atau kemana-mana yang lainnya. Ertinya pakailah semasa mendirikan solat, selesai solat salinlah kepada pakaian yang biasa kita pakai.

Mari kita lihat apakah pakaian Nabi s.a.w itu.

Pakaian Nabi s.a.w

  • Dua helai pakaian iaitu sehelai Baju Gamis dan sehelai Jubah Luar.
  • Serban.
  • Selendang (Rida’).
  • Nabi s.a.w menyuruh umatnya berpakaian warna putih.
Hadits 1

حدَّثنا مُحمَّدُ بنُ حُمَيْدِ ألرَّازِيُّ، ثَنَا ألفَضْلُ بنُ مُوسَى، وأَبُو تُمَيْلَة، وزَيْدُ بنُ حُبَابٍ، عَن عَبْدِ الْمُؤمِنِ بنِ خاَلِدٍ، عَن عَبْدِ الله بنِ بُرَيْدَةَ، عَن أُمِّ سَلَمَةَ، قَلَتْ: كَانَ أَحَبَّ الثِّيَابِ إِلَى رَسُولِ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقَمِيْصُ .  

Telah berkata Muhamad bin Humaid Ar-Razi katanya, daripada Al-Fadhal bin Musa dan Abu Tumailah dan Zaid bin Hubab daripada Abdul Mu’min bin Khalid, daripada Abdullah bin Buraidah, daripada Ummu Salamah berkata: Pakaian yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w adalah Gamis.

(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi : Syamail Muhammadiah: Bab 8 Pakaian Nabi s.a.w : Hadis 55)
(Diriwayatkan oleh Abu Daud : Sunan Abu Daud : Kitab Pakaian : Hadis 4025)
(Diriwayatkan oleh Al-Mushannif : Jami’ Al-Mushannif : Kitab Pakaian : Hadis 1762)
(Diriwayatkan oleh An-Nasa’I : Al-Kubra : Kitab Perhiasan : Hadis 18169)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Sunan Ibnu Majah: Kitab Pakaian : Hadis 3575)
(Diriwayatkan juga oleh Ahmad : Hadis 317/6)
(Diriwayatkan juga oleh Abad bin Humaid : Muntakhab : Hadis 1540)
(Diriwayatkan juga oleh Abu Ya’la : Hadis 7014)
(Diriwayatkan juga oleh Abu Syeikh : Hadis 100)
(Diriwayatkan juga oleh At-Thabrani : Al-Kabir : Hadis 1018)
(Diriwayatkan juga oleh Al-Hakim : Mustadrak: Hadis 192/4)
(Diriwayatkan juga oleh Al-Baihaqi : Sunan Al-Baihaqi : Hadis 239/2)

Hadits 2

حدَّثنا مُحمَّدُ بنُ بَشاَرٍ، حدَّثَناَ عَبْدُالرَّحْمَنِ بنُ الْمُهْدِيٍّ، أَنْبأَ عُبَيدُاللهِ بنُ إِيَّادٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي رِمْثَةَ قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهِ بُرْدَانِ أَخْضَرَانِ.

Telah berkata Muhammad bin Basyar katanya, telah berkata Abdurrahman bin Muhdi, dikhabarkan oleh Ubaidillah bin Iyyad daripada bapanya, daripada Abi Rimtsah berkata: Aku melihat Nabi s.a.w memakai dua helai pakaian daripada kain burdan berwarna hijau.

(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi: Syamail Muhammadiah: Bab 8 Pakaian Nabi s.a.w : Hadis 66)
(Diriwayatkan oleh Abu Daud: Sunan Abu Daud: Kitab Pakaian : Hadis 4065)
(Diriwayatkan oleh Al-Mushannif: Jami’ Al-Mushannif: Kitab Adab : Hadis 2812)
(Diriwayatkan oleh An-Nasa’i: Sunan An-Nasa’i: Kitab Solat Dua Hariraya: Hadis 1572)

Hadits 3

حدَّثنا عَبْدُ بنُ حُمَيْدٍ، حدَّثنا عَفَّانُ بنُ مُسْلِمٍ، قَالَ، حدَّثنا عَبدُاللهِ بنِ حَسَّانٍ الْعَنْبَرِيُّ، عَنْ جَدَّتَيْهِ دُحَيْبَةَ وَ عُلَيْبَةَ، عَنْ قَيْلَةَ بِنْتِ مَخْرَمَةَ قَالَتْ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهِ أَسْمَالُ مُلَيَّتَيْنِ كَانَتَا بِزَعْفَرَانِ وَقَدْ نَفَضْتُهُ.وَفِي الْحَدِيْثِ قِصَّةٌ طَوِيْلَةٌ.

Telah berkata Abad bin Humaid katanya, telah berkata Affan bin Muslim, katanya, telah berkata Abdullah bin Hassan Al-Anbari, daripada kedua dua orang neneknya Duhaibah dan Ulaibah, daripada Qailah binti Makhramah berkata: Aku melihat Nabi s.a.w memakai dua helai pakaian daripada kain tenun yang sudah usang. Kedua dua helai pakaian itu dicelup dengan za’faran (kunyit). Warna pakaian itu mulai luntur.

(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi: Syamail Muhammadiah: Bab 8 Pakaian Nabi s.a.w : Hadis 67)
(Diriwayatkan oleh Abu Daud: Sunan Abu Daud: Hadis 3070)
(Diriwayatkan oleh Al-Mushannif: Jami’ Al-Mushannif: Kitab Adab : Hadis 2814)
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari: Adab Al-Mufrad : Hadis 1178)
(Diriwayatkan oleh At-Thabrani: Al-Kabir : Hadis 3469)
(Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi: Al-Adab : Hadis 337)

Hadits 4

حدَّثنا هاَرُونُ بنُ إِسْحاَقَ الْهَمْداَنِيُّ، ثَناَ يَحْيَى بنُ مُحَمَّدٍ الْمَدَنِيُّ، عَنْ عَبْدِ الْعَزِيْزِ بنِ مُحَمَّدٍ، عَنْ عُبَيْدِاللهِ بنِ عُمَرَ، عَنْ ناَفِعٍ، عَنِ بنِ عُمَرَ ٌقَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أعْتَمَّ سَدَلَ عِمَامَتَهُ بَيْنَ كَتِفَيْهِ.
قَالَ نَافِعٌ: وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَفْعَلُ ذَلِكَ. قَالَ عُبَيْدُ اللهِ: وَرَأَيْتُ القَاسِمَ بنِ مُحَمَّدٍ وَسَالِماً يَفْعَلاَنِ ذَلِكَ.

Telah berkata Harun bin Ishaq Al-Hamdani, daripada Yahya bin Muhammad Al-Madani, daripada Abdul Aziz bin Muhammad, daripada Ubaidillah bin Umar, daripada Nafi’, daripada Ibnu Umar berkata Apabila Nabi s.a.w memakai serban, Baginda menjulurkan hujung serban itu di antara dua bahu beliau.
Nafi’ berkata: Ibnu Umar juga melakukan begitu.
Ubaidullah juga berkata: Aku melihat Qasim bin Muhammad dan Salim juga melakukan hal yang sama.

(Diriwayatkan oleh At-Tarmizi : Syamail Muhammadiah : Bab 17 Serban Nabi s.a.w : Hadis 118)
(Diriwayatkan oleh Al-Mushannif : Jami’ Al-Mushannif : Kitab Pakaian : Hadis 1736)
(Diriwayatkan juga oleh Al-Uqaili : Ad-Dhua’fa’ : Juz 3 Helaian 21)
(Diriwayatkan juga oleh Abu Syeikh : Helaian 117)

Hadits 5

حدًّثنا عَبْدُ بنُ حُمَيْدٍ، ثَناَ مُحَمًّدُ بنُ الْفَضْلِ، حدًّثنا حَمَّادُ بنُ سَلَمَةَ، عَنْ حَبِيْبِ بنِ الشَّهِيدِ، عَنِ الحَسَنِ، عَنْ أَنَسِ بنِ مَالِكٍ: أَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ وَهُوَ مُتَّكِئٌ عَلَى أُساَمَةَ بنِ زَيْدٍ، عَلَيْهِ ثَوْبٌ قِطْرِيُّ قَدْ تَوَشَّحَ بِهِ، فَصَلَّى بِهِمْ.   

Telah berkata Abad bin Humaid, daripada Muhammad bin Al-Fadhal, Telah berkata Hammad bin Salamah, daripada Habib bin Asy-Syahid, daripada Hasan daripada Anas bin Malik r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w keluar dari rumahnya dalam keadaan bersandar kepada Usamah bin Zaid, Beliau memakai kain Qithri yang diselempangkan di bahunya. Kemudian beliau solat berjemaah bersama para sahabat.
(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi : Syamail Muhammadiah : Bab 8 Pakaian Nabi s.a.w : Hadis 60) 

Hadits 6

حدَّثنا سُوَيْدُ بنُ نَصْرٍ، حدَّثنا عَبْدُاللهِ بنِ الْمُبَارَكِ، عَنْ سَعِيْدِ بنِ إِياَسِ الْجُرَيْرِيِّ، عَنْ أَبِي نَضْرَةَ، عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: كَانَ رَسُوْلُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أسْتَجَدَّ ثَوْباً سَمَّاهُ بِأسْمِهِ – عِماَمَةً أَوْ قَمِيْصاً أَوْ رِدَاءً – ثُمَّ يَقُوْلُ: أَللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ كَماَ كَسَوْتَنِيْهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ وَ خَيْرَ ماَ صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّهِ وَ شَرِّ ماَ صُنِعَ لَهُ.  

Telah berkata Suwaid bin Nashr, telah berkata Abdullah bin Al-Mubarak, daripada Said bin Iyas Al-Jurairi, daripada Abi Nadhrah, daripada Abi Said Al-Khudri berkata: Apabila Rasulullah s.a.w memakai pakaian baru, beliau menyebut namanya, seperti serban, gamis atau selendang. Kemudian, beliau berdoa, Ya Allah, seluruh pujian hanya untuk-Mu, sebagaimana Engkau memberikan aku pakaian ini, aku mohon kepada-Mu kebaikan pakaian ini, juga kebaikan sesuatu yang diciptakan untuknya, aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan pakaian ini, juga keburukan sesuatu yang diciptakan untuknya.

(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi : Syamail Muhammadiah : Bab 8 Pakaian Nabi s.a.w : Hadis 61)
(Diriwayatkan oleh Abu Daud : Sunan Abu Daud : Kitab Pakaian : Hadis 4020)
(Diriwayatkan oleh Al-Mushannif : Jami’ Al-Mushannif : Kitab Pakaian : Hadis 1767)
(Diriwayatkan oleh An-Nasai’ : Al-Kubra : Hadis 309)
(Diriwayatkan oleh Ahmad : Musnad Ahmad : Hadis 30/3)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah : Musnaf : Hadis 403/10)
(Diriwayatkan oleh Abad bin Humaid : Muntakhab : Hadis 882)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Saad : Thabaqat Ibnu Saad : Hadis 154/2/1)
(Diriwayatkan oleh Abu Ya’la : Musnad Abu Ya’la : Hadis 1079)
(Diriwayatkan oleh At-Thabrani : Ad-Du’a : Hadis 398)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban : Sahih Ibnu Hibban : Hadis 5396)
(Diriwayatkan oleh Al-Hakim : Mustadrak : Hadis 192/4)

Hadits 7

حدَّثنا قُتَيْبَةُ بنُ سَعِيْدٍ، ثَناَ بِشْرُ بنُ الْمُفَضَّلِ، عَنْ عَبْدِاللهِ بنِ عُثْماَنَ بنِ خُثَيْمٍ، عَنْ سَعِيْدِ بنِ جُبَيْرٍ، عَنِ بنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُماَ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عَلَيْكُمْ بِالْبَيَاضِ مِنَ الثِّيَابِ لِيَلْبَسْهَا أَحْيَاَؤُكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيْهَا مَوْتَاكُمْ، فَإِنَّهَا مِنْ خِيَارِ ثِيَابِكُمْ.

Telah berkata Qutaibah bin Said, daripada Bisyr bin Al-Mufaddhal, daripada Abdullah bin Usman bin Khutsaim, daripada Said bin Jubair, daripada Ibnu Abbas Radhiyallahu anhuma berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: Hendaklah kalian berpakaian putih, Kalian yang masih hidup hendaklah memakai pakaian berwarna putih. Pakaikan kain kafan berwarna putih juga bagi mereka yang meninggal dunia. Sebab, pakaian berwarna putih adalah sebaik baik pakaian untuk kalian.

(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi : Syamail Muhammadiah : Bab 8 Pakaian Nabi s.a.w : Hadis 68)
(Diriwayatkan oleh Abu Daud : Sunan Abu Daud : Kitab Pakaian : Hadis 4061)
(Diriwayatkan oleh Al-Mushannif : Jami’ Al-Mushannif : Kitab Jenazah : Hadis 994)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah : Sunan Ibnu Majah : Kitab Jenazah : Hadis 1472)
  
Pakailah pakaian Nabi s.a.w ini sebagai tanda cintanya kita kepada baginda, juga sebagai bukti ketaatan kita kepada perintah Allah s.w.t yang memerintahkan kita mengikuti Nabi s.a.w jika benar kita cintakan Allah s.w.t.  sebagaimana firman-Nya:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللهَ فَأتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ اللهُ وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَاللهُ غَفُوْرٌ رَحِيْمٌ
(أل عمران : 31)

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.      
(Surah Ali-Imran: Ayat 31). 

Jika kita tidak mampu memakai pakaian Nabi s.a.w. ini sebagai pakaian harian, pakailah ia sewaktu mendirikan solat, kerana itulah saat yang paling afdhal bagi kita untuk memakainya.

Wallahua’lam..

Disusun oleh;
Noor Azam Al-Husainy. 

0 komentar:

Posting Komentar