Telah masyhur kisah Baginda 'Umar RA beristisqa kepada Allah dengan bertawassul dengan Sayyidina `Abbas RA, paman Junjungan Nabi SAW. Puak salah-pi mendabik dada menggunakan kisah ini sebagai alasan, bukan sahaja untuk mengharamkan, bahkan untuk mensyirikkan saudara-saudara seagama yang bertawassul dengan Junjungan Nabi SAW atau para pewaris baginda yang telah berpulang ke rahmat Allah. Para ulama kita telah menjawab salahfaham puak ini dengan jawapan-jawapan yang mantap dari segi naqli dan aqli.
Pada entri ini mari kita meneguk ilmunya Syaikh Mutawalli asy-Sya'rawi rahimahullah yang antara lain menyatakan bahawa hadis tersebut bukanlah dalil untuk menyokong pendapat puak salah-pi yang menegah kita bertawassul dengan Rasulullah SAW atau dengan orang - orang yang punya jah yang dinisbahkan kepada Baginda Nabi SAW, baik segi nasab atau amalan perbuatannya, yang hidup atau yang telah wafat. Bahkan ianya adalah sebaliknya. Hadis tersebut adalah dalil bagi mengharuskan bertawassul dengan sesiapa sahaja yang mempunyai jah / kedudukan di sisi Allah atau yang dinisbahkan kepada Junjungan Nabi SAW. Ini adalah kerana pada hakikatnya Baginda `Umar bertawassul dengan al-`Abbas RA bukanlah kerana batang tubuh al-`Abbas RA yang masih hidup bernyawa di muka bumi yang fana, tetapi beliau dijadikan wasilah kerana hubungan kekerabatan yang beliau miliki dengan Junjungan Nabi SAW, iaitu kedudukan beliau sebagai bapa saudara / paman / `amm Junjungan Nabi SAW. Makanya Baginda `Umar tertawassul dengan ungkapan "bi `ammi Nabiyyina" atau "bi `ammi Nabiyyika" dan bukannya "bil `Abbas" sebagaimana diriwayatkan oleh para muhadditsin. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Baginda `Umar RA berdoa dengan ucapan:-
اللهم إنا كنا نتوسل إليك بنبينا فتسقينا وإنا نتوسل إليك بعم نبينا فاسقنا
"Ya Allah dahulu kami bertawassul kepadaMu dengan Nabi kami lalu Engkau telah menurunkan hujan bagi kami, dan sesungguhnya kini kami bertawassul kepadaMu dengan paman NabiMu, maka turunkanlah hujan bagi kami."Jelas baginda mengemukakan permohonan kepada Allah SWT dengan berwasilahkan kepada paman Junjungan Nabi SA, yakni dijadikan Sayyidina al-`Abbas RA sebagai wasilah kerana beliau adalah PAMAN JUNJUNGAN NABI SAW. Maka kembalilah wasilah tersebut pada hakikatnya kepada Junjungan Nabi SAW, jadi materi utama dan sandaran bagi dijadikan wasilah tersebut adalah Junjungan Nabi SAW. Antara hikmah bagi paman Junjungan SAW untuk dijadikan wasilah berbandingkan Junjungan Nabi SAW adalah kerana Sayyidina al-`Abbas RA masih hidup pada waktu kemarau tersebut dan air bermanfaat kepada orang yang masih hidup dan dia juga memerlukannya. Manakala Junjungan Nabi SAW yang telah wafat sudah tentu tidak perlu kepada air dan air tiada lagi manfaat bagi baginda. Untuk lebih mantap silalah tuan-tuan hayati cuplikan penjelasan berhubung perkara ini oleh al-Imam asy-Syaikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'raawi `alaihi rahmatul Bari.
0 komentar:
Posting Komentar